Skip to main content

DARI GELANGGANG KE JIWA - SKUAD PETANQUE LELAKI USM BAWA PERAK PULANG KE KAMPUS!

Pasukan Petanque Universiti Sains Malaysia (USM) melakar pencapaian membanggakan apabila meraih pingat perak pada pentas SUKANUN 2025 selepas berjuang sehingga ke aksi final menentang pasukan pilihan dari UiTM. Walaupun tewas di perlawanan akhir, kejayaan ini jelas meletakkan Petanque USM di satu tahap berbeza, sekaligus membuktikan kemampuan skuad staf universiti untuk bersaing dengan agensi dan badan berkanun terkemuka negara.

Kejayaan ini merupakan pencapaian terbaik sepanjang penyertaan USM di kejohanan berprestij ini. Lebih manis, ia hadir hasil gandingan mantap atlet-atlet staf dari keempat-empat kampus USM, yang bergabung tenaga, idea, serta semangat tanpa mengenal latar belakang. Inilah bukti nyata bahawa apabila warga USM bersatu, nama universiti akan terus dijulang di persada kebangsaan.

Pengurus pasukan Petanque USM, Mohamad Najhan Awang, menyifatkan pencapaian ini sebagai satu kejayaan kolektif yang hadir bukan sahaja daripada pemain di gelanggang, tetapi juga daripada sokongan padu pengurusan tertinggi universiti, rakan-rakan atlet USM dalam semua acara, dan doa berterusan seluruh warga kampus.

“Skuad Petanque USM lelaki dan wanita kali ini menunjukkan semangat juang yang luar biasa. Mereka bermain dengan hati, dengan satu tujuan – untuk membawa nama USM ke tahap terbaik. Saya juga amat berterima kasih atas sokongan semua atlet USM yang sentiasa memberi dorongan sepanjang SUKANUN ini berlangsung,” ujar beliau penuh bangga.

Pingat perak ini bukan sekadar tanda kejayaan, tetapi simbol perpaduan, kebersamaan dan semangat luar biasa staf USM yang tidak pernah mengenal putus asa. Ia sekali gus memberi isyarat bahawa sukan staf USM berada pada landasan kukuh untuk terus menggegar di pentas kebangsaan pada edisi mendatang.

Dengan semangat yang membara dan pencapaian yang membanggakan, Petanque USM telah membuktikan bahawa USM bukan sahaja unggul dalam bidang akademik dan penyelidikan, tetapi juga mampu menyerlah dalam sukan kebangsaan.