Skip to main content

DARI DESASISWA KE PENTAS KEJUARAAN - SUKAD USM JADIKAN MEDAN CUNGKIL ATLET USM 2026

SUKAD USM sekali lagi membuktikan peranan penganjurannya sebagai antara nadi pembangunan sukan mahasiswa apabila platform pembuka tirai tahun 2026, menyemarakkan semangat kesukanan, perpaduan dan daya saing sihat dalam kalangan warga kampus.

Penganjuran SUKAD bukan sekadar sebuah kejohanan, malah menjadi simbol kebangkitan semangat baharu mahasiswa dalam mendepani cabaran tahun yang mendatang. Ia menghimpunkan bakat, menyatukan desasiswa, dan membentuk jati diri atlet kampus yang berdisiplin, berdaya juang serta berwawasan tinggi.

Menurut Penasihat Utama SUKAD, Amirul Asyraf Mohd Suhaidi, kesediaan sekretariat yang diterajui oleh mahasiswa USM berada pada tahap yang amat membanggakan. Beliau menzahirkan keyakinan bahawa komitmen tinggi, kerjasama erat serta perancangan tersusun yang digerakkan oleh barisan sekretariat mencerminkan kematangan kepimpinan mahasiswa dalam mengurus acara berskala besar.

“Kesungguhan yang ditunjukkan oleh sekretariat mahasiswa membuktikan bahawa mereka bukan sahaja mampu merancang, malah melaksanakan SUKAD dengan penuh profesionalisme. Pada masa yang sama, persiapan pasukan-pasukan desasiswa tahun ini jelas lebih rapi, tersusun dan bersemangat, menampilkan keazaman untuk memberikan saingan terbaik serta memartabatkan sukan di peringkat universiti,” ujar beliau.

Sementara itu, En. Syed Syed Mohd Fairuz Syed Omar Nasiry pula menekankan aspek persiapan venue dan teknikal pertandingan yang dilaksanakan mengikut piawaian tinggi serta modul pertandingan yang sistematik. Menurut beliau, perancangan teknikal yang mantap bukan sahaja menjamin kelancaran kejohanan, malah memastikan pengalaman bertanding yang berkualiti buat para atlet mahasiswa.

“Penyediaan fasiliti, sistem pengadilan, jadual pertandingan dan modul teknikal yang terancang akan mewujudkan persekitaran kompetitif yang sihat. Inilah landasan terbaik untuk mencungkil bakat-bakat baharu yang berpotensi, sekali gus membuka ruang kepada lahirnya muka-muka baharu untuk mewakili universiti dalam kejohanan sepanjang tahun 2026,” katanya.

Beliau turut menyifatkan SUKAD sebagai medan tapisan awal yang amat penting dalam mengenal pasti atlet yang mempunyai disiplin, konsistensi dan semangat juang tinggi, sebelum diketengahkan ke peringkat lebih tinggi di bawah pengurusan Sektor Penyediaan Atlet Usm Pusat Sukan dan Rekreasi USM.

Dengan gabungan pengurusan profesional, kepimpinan mahasiswa yang berwibawa serta sokongan padu Pusat Sukan dan Rekreasi, SUKAD USM bukan sahaja menyemarakkan permulaan tahun 2026, malah menjadi obor penyatuan, pencetus kecemerlangan dan pemangkin lahirnya generasi atlet kampus yang bakal mengharumkan nama Universiti Sains Malaysia di persada sukan sepanjang tahun ini dan seterusnya.