ATLET USM BERSINAR DAN HARUMKAN NAMA UNIVERSITI SAINS MALAYSIA

Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi membuktikan keunggulan dalam arena sukan universiti apabila tiga atletnya dinobatkan dengan anugerah berprestij hasil dedikasi, disiplin dan semangat juang yang tinggi.
Mendahului senarai kecemerlangan ialah Amir Daniel Abdul Majeed dari Pusat Pengajian Sains Kajihayat Tahun 3, atlet Sukan Judo, yang dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Bintang Harapan MASUM 2023 serta Anugerah Atlet Terbaik Universiti 2024 (Lelaki). Kejayaan berganda ini membuktikan konsistensi dan potensi besar beliau sebagai antara sandaran utama USM di pentas lebih tinggi.

Turut mengharumkan nama universiti ialah Tan Shau Heng, pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Tahun 4, yang merangkul Anugerah Atlet Terbaik Universiti 2023 (Lelaki) bagi sukan Badminton. Ketangkasan, disiplin latihan dan prestasi cemerlang beliau menjadi inspirasi kepada rakan atlet lain untuk terus melakar kejayaan.

Dalam kategori wanita pula, Pritiswary a/p Muniswaran dari Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Tahun 3 tampil membanggakan apabila dinobatkan sebagai Anugerah Atlet Terbaik Universiti 2024 (Wanita) menerusi sukan Memanah. Ketelitian, fokus dan kekuatan mental beliau jelas menjadi kunci kepada pencapaian gemilang ini.
Kejayaan tiga atlet ini bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan individu, malah menyerlahkan komitmen berterusan USM dalam melahirkan atlet holistik yang seimbang dari segi akademik dan sukan.
Tahniah dan syabas diucapkan! Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin semangat buat seluruh warga atlet USM untuk terus berani bermimpi, gigih berusaha dan membawa nama universiti ke tahap yang lebih tinggi.
USM – Mendukung Bakat, Melakar Kejayaan!