Skip to main content

ARENA PETANQUE USM – KAMPUS KEJURUTERAAN USM KUASAI PODIUM

Kejohanan Petanque Berpasukan SUKJAP USM sekali lagi membuktikan bahawa sukan ini semakin berkembang pesat dan memiliki daya saing tinggi di kalangan warga kampus. Dengan penyertaan pelbagai kampus dan fakulti, pertandingan tahun ini berlangsung penuh semangat, menggabungkan kemahiran teknikal, strategi permainan, dan semangat berpasukan yang mengagumkan.

Kategori Berpasukan Wanita menyaksikan pasukan USM Kampus Kejuruteraan tampil sebagai juara mutlak setelah mempamerkan aksi konsisten dan tepat dalam setiap lontaran. Kampus Induk tidak kurang hebatnya apabila berjaya meraih Naib Johan dengan strategi permainan yang kemas dan fokus tinggi. Tempat ketiga bersama menjadi milik USM Kampus Kesihatan n dan IPPT/PPUSMB, yang walaupun tewas di separuh akhir, tetap memperlihatkan kemampuan untuk memberi tentangan sengit kepada lawan.

Sementara itu, Kategori Berpasukan Lelaki turut menjadi pentas dominasi Kejuruteraan, yang berjaya menggondol gelaran juara hasil kombinasi kemahiran teknikal dan komunikasi berpasukan yang mantap. Kampus Kesihatan pula melangkah gagah ke pentas Naib Johan selepas berentap sengit di final. Di tempat ketiga bersama, Kampus Induk dan IPPT/PPUSMB membuktikan bahawa mereka juga merupakan pasukan yang berkaliber dengan rekod permainan yang membanggakan.

Kejohanan kali ini jelas memperlihatkan bahawa Petanque di USM bukan sekadar sukan rekreasi, tetapi telah menjadi satu arena kompetitif yang melahirkan pemain berpotensi tinggi. Kejayaan dan prestasi cemerlang semua pasukan membuktikan bahawa USM mempunyai asas yang kukuh untuk terus mengangkat martabat sukan ini ke peringkat lebih tinggi.

Dengan semangat juang yang kental, ketepatan teknik, dan keindahan taktikal yang dipamerkan, Petanque USM 2025 sememangnya menjadi bukti nyata bahawa sukan ini kini berada di landasan gemilang.