3 GANGSA DARI KEM OLAHRAGA USM DI VARSITY TRACK & FIELD SERIES 2
Kuala Terengganu, 28 Jun 2025 — Pasukan Olahraga Universiti Sains Malaysia (USM) terus memberi saingan di Varsity Track & Field Series 2 yang berlangsung di Stadium UniSZA, Terengganu apabila berjaya membawa pulang tiga pingat gangsa.

Kejayaan pertama hadir menerusi atlet Muhammad Aqil Hadif bin Zahari, pelajar tahun 4 Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik yang menamatkan cabaran Decathlon Lelaki di tempat ketiga.

Turut menceriakan kem olahraga USM ialah pasukan 4x100m Kategori Wanita yang menampilkan larian bertenaga untuk meraih gangsa dalam acara berganti-ganti pecut tersebut.

Sementara itu, dalam acara jarak jauh 5000m Wanita, Amrithaa Poovendren, pelajar tahun 1 Pusat Pengajian Pengurusan, menampilkan larian konsisten dan strategi bijak untuk memastikan satu lagi gangsa menjadi milik USM.
Jurulatih olahraga USM, Mohd Firdouz Mazlan turut memuji semangat juang yang dipamerkan oleh atlet di kejohanan kali ini.
“Walaupun kita berdepan cuaca panas dan jadual padat, atlet USM kekal fokus dan beri yang terbaik. Tiga gangsa ini hasil kerja keras semua pihak dan saya yakin pencapaian ini menjadi motivasi untuk kejohanan seterusnya,” ujar beliau.
Kejohanan yang berlangsung dari 26 hingga 29 Jun 2025 ini menjadi medan penting buat USM mengasah atlet pelapis dan meningkatkan pencapaian dalam sukan olahraga peringkat universiti.